17 July 2014

Minda: Cabaran jaga ibu bapa uzur

Harian Metro

Menurut pakar psikologi Barat, Erik Erikson (1963), kitaran hidup manusia merangkumi beberapa tahap dalam kehidupan serta mempunyai tugas dan tanggungjawab perkembangan yang perlu dilakukan. Tahap itu bermula dari peringkat bayi hingga tua dan saat kematian. Oleh yang demikian menjadi tua adalah suatu yang pasti dan kita tidak dapat mengelaknya. Di negara kita bilangan warga emas semakin meningkat dengan kemajuan bidang perubatan dan kesedaran menjaga kesihatan. Hasilnya warga emas di negara kita dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati jumlah warga emas di negara kita tahun lalu mencecah hampir dua juta iaitu 7.1 peratus daripada 26.7 juta penduduk di negara ini. Bilangan itu dijangka meningkat lebih 10 peratus sekitar 2025 dan akan mencapai 15 peratus pada 2035.


Apa yang ingin ditekan di sini ialah dengan pertambahan jangka hayat warga emas di negara kita, masyarakat perlu lebih bersedia memikul tanggungjawab menjaga kebajikan mereka khususnya ahli keluarga sendiri bagi terus membantu warga emas ini menjalani kehidupan masa tua dengan berkualiti dan penuh kasih sayang.

Bagi warga emas yang sudah tidak berdaya untuk mengurus diri, mereka amat memerlukan sokongan, kasih sayang dan bantuan daripada seluruh ahli keluarga serta masyarakat. Perubahan gaya hidup masa kini banyak memberi cabaran kepada anak untuk menjaga ibu bapa yang uzur. Mungkin akibat desakan kehidupan dan faktor ekonomi ada segelintir anak yang terpaksa menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua sebagai jalan terbaik bagi ibu bapa berkenaan kerana masing-masing mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.


Di sebalik kisah ibu bapa yang dihantar ke rumah orang tua, sebenarnya masih ramai juga mengambil tanggungjawab menjaga sendiri ibu bapa sakit dan uzur dengan bantuan pembantu rumah, anak serta menantu yang tidak bekerja. Keselesaan dan kasih sayang keluarga sememangnya ubat paling mujarab bagi warga emas melalui saat tua mereka. Selain itu rumah sendiri atau rumah anak adalah tempat paling kondusif bagi ibu bapa uzur menghabiskan sisa hidup mereka.

Sememangnya tidak semudah yang diperkatakan. Adakalanya konflik timbul dalam kalangan ahli keluarga sendiri kerana urusan menjaga ibu bapa yang uzur, hilang upaya dan nyanyuk. Banyak faktor menyebabkan berlaku konflik keluarga dalam penjagaan ibu bapa seumpama ini dan antaranya perangai ibu bapa yang uzur dan terlalu meminta perhatian sehingga menyebabkan keluarga berkonflik. Selain itu, ia berpunca daripada sikap anak lain dan menantu yang jarang ambil berat serta berasakan ibu bapa ada tempat bergantung yang selesa.

Ada juga kes mereka yang diamanahkan menjaga ibu bapa yang uzur kurang mendapat sokongan dan bantuan daripada segi fizikal, mental serta material ahli keluarga lain. Biasanya anak terpilih menjaga ibu bapa adalah mereka yang rapat dan paling sabar serta mempunyai kedudukan ekonomi agak kukuh. Dalam hal yang berkaitan, biasanya jika ibu bapa berkenaan tinggal bersama anak yang boleh menjaga mereka, ahli keluarga lain sering berasakan keperluan ibu bapa sudah terisi. Mereka juga sering berasakan ibu bapa berkenaan sudah selesa dengan mereka yang menjaganya dan adakalanya lupa mereka juga perlu bekerjasama memberikan komitmen terhadap ibu bapa walaupun tinggal berasingan.

Rambut sama hitam hati lain-lain, begitulah sikap dan perangai manusia walaupun lahir dari satu ibu atau satu ayah, mereka mempunyai pelbagai kerenah dan pendirian hidup. Seperti kata pepatah, ‘dalam setandan pisang tidak semuanya elok’. Dalam kes seumpama ini, jika ada anak yang sanggup berkorban menjaga ibu bapa yang sakit, anak lain dengan senang hati menjadi pemerhati jarak jauh saja.


Adakalanya ahli keluarga yang lain tidak memikirkan mereka yang bertanggungjawab itu perlu menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun pada hakikatnya mereka sanggup berkorban menggalas tanggungjawab menjaga ibu bapa uzur. Sering juga sikap tidak prihatin ahli keluarga lain terhadap kehendak ibu bapa uzur dan mereka yang diamanahkan menjaga menyebabkan keluarga berpecah-belah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri apabila terpaksa memberi sedikit komitmen dan masa untuk ibu bapa. Betul kata orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tapi 10 anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu.

Memang agak pedas bunyi pepatah itu, tapi perlu diingat bukan mudah melayan kerenah ibu bapa uzur dan sakit. Mereka amat memerlukan perhatian dan ada kalanya permintaan mereka sering membuatkan anak menjadi keliru serta sukar memenuhinya atas alasan tertentu. Tidak semua orang tua mempunyai kerenah cerewet dan sukar difahami, tapi jika ada yang sedemikian, ini cabaran paling hebat buat mereka yang menjaganya.

Sikap cerewet dan kembali menjadi keanak-anakan serta suka mengadu perkara yang bukan-bukan kepada anak yang lain menyebabkan mereka yang menjaganya mendapat tekanan amat tinggi. Sebenarnya ibu bapa yang uzur ini menagih simpati dan kasih sayang anak. Jika tidak berbuat demikian jarang yang ada datang melawat. Semuanya memberi alasan sibuk bekerja. Namun, bagi anak yang kurang prihatin dan tidak sensitif terhadap kehendak ibu bapa uzur ini menyebabkan mereka malas melayan perangai remeh-temeh ibu bapa sedemikian. Bagi mereka yang menjaga ibu bapa yang uzur semestinya amat maklum mengenai kerenah dan perangai ibu bapa berkenaan. Seperti kata pepatah ‘ditelan mati mak diluah mati bapak’ jika tidak diturutkan dikatakan anak derhaka jika terus menerus mengikut setiap suruhan serta melayan kerenah yang kadangkala tidak masuk akal, mereka boleh menjadi terlalu tertekan dan mengalami sakit sampingan kerana berhadapan dengan kehidupan penuh stress. Menjaga kedua-dua orang tua yang sakit dan uzur perlu banyak bersabar serta tabah, kerana adakalanya kita mengumpul lebih banyak dosa berbanding pahala yang Allah berikan.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Orang luar nampak segalanya cantik, namun bagi yang merasainya dan mengalaminya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bagi mereka yang menjaga ibu bapa uzur ada kalanya rumah tangga juga boleh bergoyang. Jika suami atau isteri memahami dan tahu tanggungjawab mereka dalam menjaga ibu bapa uzur mungkin masalah tidak terlalu rumit, namun apa yang terjadi masa kini ada suami atau isteri khususnya menantu yang tidak dapat menerima tangggungjawab ini sebagai tanggungjawab bersama. Adakalanya ia dibebankan pada satu pihak saja, selalunya anak kandung sendiri sehingga menyebabkan mereka yang terpaksa menanggung ibu bapa uzur mengalami tekanan dan terpaksa bertindak di luar dugaan.

Justeru, sebagai anak kita perlu banyak bersabar dan berdoa kepada Allah semoga ibu bapa yang uzur diberikan ketabahan dan kesabaran.

Melalui pengalaman mereka yang pernah menjaga ibu bapa yang sakit, kesabaran dan ketabahan adalah pokok segalanya bagi meneruskan apa yang dilakukan. Adakalanya apa yang dipaparkan di media dan filem hanyalah pandangan satu pihak saja, namun realitinya menjaga ibu dan ayah yang sakit benar-benar menguji kesabaran dan keimanan. Paling penting tahap kesabaran yang tinggi serta sentiasa berasakan ini semua tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah. Tidak hairanlah mengapa Allah suruh kita berbuat baik dan bersabar dengan orang tua khususnya ibu bapa. Ini kerana ketabahan dan keimanan seseorang itu amat diduga Allah ketika berhadapan kerenah ibu bapa yang uzur. Ingatlah hidup ini bagai roda, jika kita berbuat baik pada kedua-dua ibu bapa kita, insya-Allah anak kita akan berbuat perkara yang sama kepada kita.
>Penulis pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)
sumber

4 comments:

  1. Sedih kan tengok ibubapa yang ditinggalkan keseorangan. Mintak kita dijauhkan dari sifat-sifat buruk. Seorang ibu boleh jaga 10 anak tapi 10 anak tak boleh nak jaga seorang ibu pon =(

    http://butikgebugebu.blogspot.com/2014/07/pray-for-mh17.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. moga-moga kita dijauhkan dari sifat sebegitu rupa juga....amin....
      terbaru ni berita malang mengenai MH17 juga .....moga-moga ahli keluarga mereka tabah...amin....

      Delete
    2. sentiasa ingat ketika tua nanti...masa kita akan berganti...

      Delete
    3. yeee....betul tu fatin nur.

      Delete